Wednesday, February 15, 2012

Mencari atau Dicari

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apakah yang mencari atau dicari itu? Menjadi tanda tanya dan persoalan sejak kebelakangan ini di dalam kamus hidup saya. Dengan usia yang semakin meningkat, pelbagai cabaran dan halangan serta pengalaman baru perlu dilalui. Apakah kita sedar yang kita ini semakin dewasa? Semakin melangkah ke alam yang baru pada setiap hari dan menemui pelbagai ragam kehidupan setiap hari? Adakah kita sedar akan semua itu berlaku atau membiarkan ianya berlalu tanpa mengambil iktibar dari perkara yang berlaku? Hari ini kita lihat, ramai yang telah berjaya tetapi adakah mereka sebenarnya berjaya? Kita jarang-jarang sekali bertanyakan hal ini malah ada yang tak pernah untuk mengambil tahu pun hal ini. Bercakap tentang mencari atau dicari ini, ianya adalah permasalahan dalam diri kita sendiri, masyarakat kita, bangsa kita dan negara kita. Kita telah lihat ramai anak-anak muda terutamanya, berjaya dalam bidang-bidang yang mereka minati tetapi apakah mereka ini telah benar-benar berjaya?

Pasti banyak yang akan mengatakan kita telah berjaya kerana tercapai matlamat dan cita-cita yang diinginkan. Dalam hal ini saya mengatakan kita masih belum berjaya. Mengapa dan kenapa? Kita nilai dan kita tanya kepada mereka yang berjaya ini, khususnya anak Melayu yang kita banggakan. Apakah matlamat dan perjuangan mereka yang sebenar? Pasti kebanyakan daripada mereka akan menyatakan bahawa mereka inginkan rumah besar dan kereta besar, menjadi Boss dan sebagainya. Bagaimana pula dengan masyarakat yang selama ini yang telah membantu mereka untuk melanjutkan pelajaran sehingga berjaya? Mereka lupa dan alpa dengan apa yang mereka lakukan. Apabila saya mengatakan ini pasti ramai akan membidas apa yang saya utarakan. Saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik kerana kita tidak akan berjaya dengan politik yang tidak sihat. Jadi saya lebih suka menjauhkan hujah ini dari pengaruh mana-mana politik.

Saya menulis ini, khususnya kepada anak Melayu dan Islam. Adakah anda sedar anda sedang mengkhinati bangsa, agama dan negara anda sendiri? Tidak malukah anda selama kita mencapai kemerdekaan, kebebasan dari segala ancaman kuasa luar, kita tidak membuat perubahan yang drastik dalam membentuk bangsa yang kuat? Jika kita tidak hebat, bagaimana bangsa kita boleh belayar solo mengelilingi dunia, merenangi Selat Inggeris dan yang terhebat, berjaya membuat kajian di angkasa lepas. Tun Dr. Mahathir pernah membahaskan hal sedemikian dalam buku beliau The Malay Dilemma dan yang terbaru A Doctor In The House yang mana bangsa kita ini hebat, tetapi malas. Tahu untuk mencari jalan mudah sahaja dalam menyelesaikan masalah. Kembalilah kita ke landasan yang sebenar. Ketika merdeka dulu kita cuma mempunyai 100 orang lulusan universiti, kini ratusan ribu. Jika dulu nenek moyang kita sanggup "belajar tinggi-tinggi" untuk anak bangsa dan negara. Kenapa kini, kita generasi baru, khusunya anak Melayu yang beragama Islam tidak sedar akan hal ini. Saya menasihati diri saya, serta rakan-rakan sebangsa dan seagama untuk bangkit sedar dan fahamilah mengapa kita diberi peluang untuk berjaya. janganlah kita berada dalam dilema Mencari atau Dicari dalam matlamat hidup kita.

No comments:

Post a Comment