Thursday, June 4, 2009

Tanggungjawab Dakwah....SIAPA????

Bismi-llah ir-Rahman ir-Rahim...

Muslimin yang dirahmati Allah...

Apabila disebut perkataan dakwah, seringkali terbayang dalam fikiran kita seorang a'lim yang mempunyai ilmu agama memberikan kuliah mengajarkan kepada orang lain berkenaan Islam. Gambaran dakwah seperti ini adalah satu gambaran sempit yang memberi makna bahawa menjalankan usaha dakwah adalah khusus kepada orang yang mempunyai ilmu agama semata-mata. Justeru, golongan agama dan ulama selalu dibebankan dengan permasalahan dan penyebaran dakwah. Hakikatnya, pemikiran dan tanggapan seperti ini langsung tidak menepati semangan dan ruh dakwah itu sendiri. Bebanan dan gerak kerja dakwah yang mulia ini merupakan tugas yang bukan sahaja mesti dipikul oleh ahli agama, bahkan terpikul atas bahu semua umat Islam yang mengsyahadahkan bahawa tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad S.A.W itu utusan Allah.

Muslimin dan Muslimat yang berbahagia,

Tanggungjawab memperkenalkan dan menyampaikan ajaran Islam dengan wajahnya yang tulen kepada manusia sejagata adalah tugas hakiki yang mesti dijalankan dengan penuh kesungguhan oleh semua umat Islam. Terdpat banyak dalil yang menyentuh persoalan dakwah dan tanggungjawab umat Islam dalam menjayakannya, antara firman Allah S.W.T dalam surah al-Imran(3) ayat 104 , maksudnya, "Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru kepada kebaikan(mengembangkan Islam)dan menyuruh segala perkara yang baikserta melarang daripada segala yang salah(buruk dan keji), dan mereka yang bersifat demikian,ialah orang2 yang berjaya."

Ayat ini secara jelas menyatakan perintah Allah supaya umat Islam membentuk diri mereka dan menjadi umat atau kelompok manusia yang sentiasa menyeru kepada kebaikan iaitu Islam, manusia yang sentiasa menyeru kepada yang maaruf dan mencegah daripada berlakunya kemungkaran, Inilah dia elemen penting yang terkandung dalam gerak kerja dakwah yang dijalan dan dipaksikan kepada kekuatan keimanan kepada Allah S.W.T. Tanpa paksi iman, penghayatan terhadap dakwah akan menjadi hancur dan luluh seperti rapuhnya iman dan luluhnya taqwa kepada Allah S.W.T. Dalam hal ini, tugas dakwah yang dirintis oleh seseorang Muslim bukan sahaja satu usaha untuk menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat, bahkan ia merupakan terjemahan kepada ketinggian keimanannya kepada Allah S.W.T Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda dalam hadisnya diriwayatkan Abi Hurairah r.a...,ertinya, "Sesiapa diantara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya(kuasa yang ada pada seseorang), jika dia tidak mampu, maka ia ubahlah dengan lidahnya, jika tidak mampu, maka gunalah hatinya(dalam membenci dan tidak meredhai berlakunya kemungkaran itu) dan yang demikian selemah-lemah iman."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menyatakan langkah-langkah yang patut diambil oleh seseorang Muslim dalam usahanya mencegah kemungkaran. Ia juga secara jelas menunjukan persoalan iman yang berkaitan rapat dengan dakwah. Kemampuan seseorang dalam mencegah kemungkaran ialah salah satu unsur penting dalam dakwah. Ia adalah ukuran keimanan kepada Allah S.W.T. dalam menghadapi masyarakat Islam yang sedang diselubungi dengan kerosakan akhlak disebalik kilauan kemajuan dan ketamadunan yang mempesonakan. Walaupun, kita sering mendabik dada dan berasa megah kerana kita berasa selesa dalam dunia yang serba moden dan canggih ini, kita perlu beringat bahawa sesuatu kemajuan yang dicapai ini tidak bermakna dan tidak boleh dibanggakan jika celahannya tersusun seribu satu keruntuhan akhlak serta terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakatnya. Hari demi hari, keadaan umat islam tidak menunjukkan kemajuan dari segi penghayatan agamanya dan ini boleh mengundang kekhuatiran dan kebimbangan kepada mereka yang mengambil berat dan prihatin atas nasib umat ini. Gejala-gejala asing yang buruk yang entah dari mana asal-usulnnya telah menjadi amalan masyarakat kita.

Gaya hidup manusia yang mendaulatkan keduniaan dan bertuhankan hawa nafsu semata-mata telah menyimpang jauh daripada prinsip keTuhanan yang satu. Punca kepada masalah ini adalah daripada kegagalan semua lapisan masyarakat dalam menggalas tugas sebagai da'ie. Ini termasuklah kegagalan individu, institusi keluarga, dan institusi masyarakat dalam membimbing dan mendidik anggota masyarakat berpandukan ajaran islam dan kecuaian pihak-pihak yangberwajib menyediakan persekitaran yang membenihkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Kecuaiyan dan kelesuan dalam menghayati dakwah inilah yang membawa kesan negatif kepada umat keseluruhannya. Oleh yang demikian, semua umat Islam perlu sama-sama bangkit dari kelesuan ini. Seterusnya menyusun usaha dalam menghayati dan melaksanakan tugas dakwah dengan penuh ikhlas dan mengikut kadar kemampuan masing-masing.

Muslimin dan Muslimat yag dirahmati,

Adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim tidak mengira kedudukan dan gelaran menjadikan dakwah sebagai agenda hidup yang paling penting. Semangat dan ruh seperti inilah yang menyerap dalam urat nadi dan hembusan nafas generasi awal islam hasil didikan langsung daripada Rasulullah S.A.W. Mereka menjadi umat yang terbaik dalam sejarah umat manusia kerana keimanan yang teguh dan ketinggian penghayatan terhadap dakwah dan riisalah Nabawi. Akhirnya, saya menyeru diri sy termasuk pembaca-pembaca, marilah kita menanam azam dalam diri kita untuk menjalankan usaha dakwah dan tidak mencuaikan agar kita sentiasa berada dalam rahmat allah S.W.T. yang amat luas dan terhindar daripada laknat Allah S.W.T. yang amat berat siksanya...
WalaAllahualam...